Disclaimer: Perlu diingatkan, tulisan saya ini bukan bertujuan untuk membidas Panel Penyelidikan Yayasan SOFA, Negeri Sembilan, Malaysia. Cuma sekadar ingin memberi penjelasan secara ringkas, bi idznillaah.
Saya secara peribadi berasa bab Memohon Syafaat Rasulullaah Shollallaahu 'Alaihi wa Sallaam ini tidak cukup hanya dengan ruangan kecil sebegitu. Orang awam umumnya pasti mudah terkeliru tentang perkara penting ini.
ERTI SYAFAAT
Pertama sekali, apa itu Syafaat?
Syafaat dari sudut istilahnya adalah pengantara bagi seseorang dalam hal mendapat manfaat atau menjauhkan daripada hal mudharat.
Mendapat Manfaat:
Syafaat Nabi Muhammad Shollallaahu 'Alaihi wa Sallaam bagi ahli Syurga supaya masuk ke dalam Syurga.
Menjauhkan Mudharat:
Syafaat Nabi Muhammad Shollallaahu 'Alaihi wa Sallaam bagi mereka yang akan dimasukkan ke dalam Neraka agar terselamat darinya.
JENIS SYAFAAT UTAMA
Secara ringkasnya para ahli Ilmu telah menyebutkan DUA jenis syafaat yang UTAMA:
PERTAMA: Syafaat Khusus bagi Rasulullaah Shollallaahu 'Alaihi wa Sallaam.
Di sini terdapat 3 cabang:
1) Syafaat 'Uzhmah
Syafaat ini merangkumi setiap umat manusia iaitu termasuk umat nabi dan rasul yang lain ketika di Padang Mahsyar. Terdapat banyak hadith yang mutawatir, dan antaranya hadith Anas bin Malik yang panjang. 2) Syafaat Baginda pada Ahli Syurga untuk mendapat izin memasuki SyurgaApabila selesai perhitungan (hisab) dan berjaya melintasi titian, Ahli Syurga mendapati pintu Syurga tertutup, sehinggalah Baginda memohon syafaat agar dibukakan bagi mereka.
Dalil yang menunjuk hal ini adalah dalam surah az-Zumar, ayat ke 73
Dalam Tafsir Ibn Katsir:
"Di hari akhirat kelak, setiap ahli Syurga yang telah berjaya melepasi titian akan berdiri di depan pintu Syurga. Mereka akan dikumpulkan di suatu tempat antara Syurga & Neraka, kemudian mereka akan dikhabarkan tentang perbuatan silam mereka di dunia, dan masing-masing mengambil haknya daripada saudaranya . Mereka akan bertanya antara sesama mereka siapakah yg akan memohon pada Allah utk memberi izin mereka masuk Syurga. Setelah disucikan dan dibersihkan, barulah diberi izin dan dibukakan bagi mereka pintu-pintu Syurga (yang lapan itu).
Imam Ibn Katsir menyebutkan mengenai hadith Hudzaifah al-Yamani dan Abu Hurairah:
Mereka akan sekali lagi memohon syafaat dari para Nabi & Rasul seperti mana di padang mahsyar sebelum bermulanya perhitungan, bermula dari Nabi Adam 'Alaihis Salaam hingga akhir sekali mereka bertemu dengan Rasulullaah Shollallaahu 'Alaihi wa Sallaam, dan barulah Baginda memohon syafaat utk diberi izin ahli syurga masuk."
Apa tujuan Syafaat ni?
" Agar memperlihatkan kemuliaan Nabi Muhammad Shollallaahu 'Alaihi wa Sallaam atas sekalian manusia yang lainnya."
Hadith Anas bin Malik: Nabi Shollallaahu 'Alaihi wa Sallam bersabda:
آتي باب الجنّة يوم القيامة فأستفتح, فيقول الخازن: من أنت؟ فأقول: محمد. فيقول: بك أُمِرتُ أن لا أفتح لأحد قبلكMaksudnya: "Pada hari kiamat, aku mendatangi pintu Syurga dan meminta agar ianya dibuka. Maka berkata penjaga pintu: Siapakah engkau? Aku menjawab: Muhammad. Lalu ia berkata: Demikianlah aku diutuskan agar tidak membukanya bagi sesiapa pun sebelum kamu."
-Riwayat Muslim
3) Syafaat Baginda pada bapa saudaranya Abu Talib agar diringankan siksaannya
Abu Talib pernah membantu dan membela Nabi Shollallaahu 'Alaihi wa Sallaam, maka diberi keizinan agar diringankan azabnya.
KEDUA: Syafaat Umum bagi Rasulullaah Shollallaahu 'Alaihi wa Sallaam dan sekalian orang Mu'min.
Di sini juga terdapat 3 cabang:
1) Syafaat bagi mereka yang akan dimasukkan ke dalam Neraka agar terselamat darinya.
Hadith Ibn 'Abbas: Nabi Shollallaahu 'Alaihi wa Sallam bersabda:
مَا مِنْ رَجُلٍ مُسْلِم يموت فيقوم على جنازتِه أربعون رجلاً لا يُشرِكونَ بالله شيئًا إِلاّ شَفَّعَهُمْ اللَّهُ فِيهِMaksudnya: "Tidaklah seorang Muslim meninggal dunia lalu ada empat puluh orang yang mendirikan solat jenazah baginya, yang mana mereka itu tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apa pun, melainkan Allah akan mengabulkan permohonan syafaat mereka untuk jenazah tersebut."
-Riwayat Muslim
2) Syafaat bagi mereka yang telah dimasukkan ke dalam Neraka agar dikeluarkan darinya.
Dalilnya adalah dalam surah Toha, ayat ke 109
3) Syafaat bagi orang mu'min agar dinaikkan darjat dan ganjarannya.
Dalilnya sama seperti hadith di atas, hadith Ibn 'Abbas.
PERKARA BERKAITAN SYAFAAT
Terdapat beberapa perkara yang perlu diketahui dalam bab Syafaat ini, secara umumnya ada TIGA:
1- Hanya Allah s.w.t sahaja yang memiliki syafaat yang mutlak.
Allah s.w.t berfirman dalam surah al-An'aam ayat 51:
قال الله تعالى: وأنذر به الذين يخافون أن يحشروا إلى ربّهم ليس لهم من دونه من وليّ ولا شفيع لعلّهم يتّقونMaksudnya: "Dan berilah peringatan dengan apa yang diwahyukan itu kepada orang-orang yang takut akan dihimpunkan kepada Tuhannya (pada hari Qiyaamah), sedang bagi mereka tidak ada seorang pelindung dan pemberi syafa'at pun selain daripada Allah, agar mereka bertaqwa."
Di dalam Tafsir Ibn Katsir: "Allah s.w.t memerintahkan Nabi Muhammad Shollallaahu 'Alaihi wa Sallaam agar memberi peringatan kepada orang-orang beriman yang takut pada hari kebangkitan dengan peringatan dari al-Qur'an, bahawa pada hari itu tidak ada satupun pendamping atau pemberi Syafa'at daripada azab (keperitan dan kesusahan di Padang Mahsyar) kecuali Allah s.w.t."
Nabi Muhammad Shollallaahu 'Alaihi wa Sallaam dan orang-orang mu'min harus memohon daripada Allah s.w.t, dan tidak ada siapa yang boleh mengabulkan syafaat selain Allah s.w.t.
2- Hanya dengan izin Allah s.w.t sahaja seseorang boleh memberi syafaat kepada orang lain.
Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 255:
قال الله تعالى: من ذا الذي يشفع عنده إلاّ بإذنهMaksudnya: "Tiada yang dapat memberi syafa'at di sisi Allah tanpa izinNya."
Mereka yang diberi izin untuk memohon syafaat adalah Rasulullaah Shollallaahu 'Alaihi wa Sallaam dan orang-orang mu'min seperti orang yang menghafal al-Qur'an sepenuhnya dan lain-lain.
3- Hanya orang yang diredhai Allah s.w.t sahaja yang berhak menerima syafaat.
Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Anbiya' ayat 28:
قال الله تعالى: ولا يشفعون إلاّ لمن ارتضىMaksudnya: "Dan mereka tiada memberi syafaat melainkan kepada orang yang diredhai Allah."
Orang yang layak menerima syafaat adalah mereka yang benar-benar mentauhidkan Allah s.w.t dalam i'tiqad dan amal sholeh mereka tanpa menyekutukan dengan makhluk lain.
SAHABAT MEMOHON SEMASA HAYAT BAGINDA
Di dalam artikel tersebut, penulis ada memberikan dalil-dalil contoh yang memang thabit iaitu benar bahawa para sahabat memohon syafaat daripada Rasulullaah Shollallaahu 'Alaihi wa Sallaam. Namun, harus difahami bahawa sahabat memohon syafaat semasa hayatnya Rasulullaah Shollallaahu 'Alaihi wa Sallaam.
Setelah wafatnya Baginda Shollallaahu 'Alaihi wa Sallaam, tidak ada dalil yang thabit menunjukkan bahawa para Sahabat memohon syafaat daripada Baginda. Para Sahabat amat memahami perkara ini dengan baik, lantas Baginda tidak perlu menyebut kata-kata larangan dengan jelas. Ini kerana sepanjang hayatnya Baginda telah berkali-kali menegaskan bahawa segala permintaan iaitu doa haruslah dipanjatkan kepada Allah s.w.t, Tuhan yang sentiasa hidup dan tidak akan pernah mati.
Doa merupakan sebuah ibadah, dan ianya hanya ditujukan kepada Allah s.w.t kerana tidak ada Tuhan yang layak disembah melainkan Dia. Perbuatan memohon syafaat di dunia ini juga dianggap doa. Dari itu, ianya tidaklah boleh disebut dalam bentuk lafaz "ya Rasulallaah, syafaatkanlah aku..". Sebaiknya, seorang berdoa: "Ya Allah, perkenankanlah bagiku di akhirat kelak Syafaat Nabi Muhammad, Amin."
BAGAIMANAKAH NASIB KITA?
Pada hari akhirat di padang Mahsyar kelak, semua makhluk akan dikumpulkan; manusia, jin, malaikat dan juga haiwan. Semuanya dibawa menghadap Allah s.w.t yang Maha Berkuasa lagi Maha Agung. Hari itu adalah merupakan hari yang sangat dahsyat. Keadaan akan menjadi kocar-kacir. Masing-masing akan menderita ketakutan mengenangkan nasib mereka, sama ada berakhir dengan menikmati ganjaran Syurga atau sebaliknya mendapat balasan siksaan Neraka.
Maka pada ketika itu, manusia akan mencari siapa yang mempunyai kemuliaan di sisi Allah s.w.t yang boleh dijadikan perantaraan supaya memohon syafaat kepadaNya agar dipercepatkan, dipermudahkan dan diselesaikan dari perhitungan yang lamanya lima puluh ribu tahun!
Hanya Nabi Muhammad Shollallaahu 'Alaihi wa Sallaam yang akan memohon kepada Allah s.w.t agar diringankan penderitaan sekalian manusia di padang Mahsyar.
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan sebuah hadith dari Abu Hurairah Radhiyallaahu 'Anhu, bahwa Rasulullaah Shollallaahu 'Alaihi wa Sallaam bersabda:
"Setiap nabi mempunyai doa yang dikabulkan, semua nabi telah menggunakannya di dunia, dan aku ingin menyimpan doaku tersebut sebagai syafa'at bagi umatku pada hari kiamat, ia boleh diperolehi insya Allah bagi sesiapa yang mati dari kalangan umatku yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain."
Semoga Allah s.w.t menganugerahkan kepada kita semua syafaat Baginda Shollallaahu 'Alaihi wa Sallaam di akhirat kelak. Amin.
Wallaahu a'lam. Share this: Facebook


No comments:
Post a Comment